Langkau ke kandungan

Malaysia · No. IN·0002

3 soalan monetari untuk ahli syariah - #1 Matawang fiat syar’ie atau tidak?

Isu ekonomi yang paling kritikal - bolehkah duit dicipta atas angin?

4 minIkmal Nordin ·

Dalam post lepas tentang kenapa saya tinggalkan bank pusat, ada orang tanya soalan yang agak ‘loaded’:

“Apa pendapat tentang bank Islam yang selesaikan masalah riba dengan menggunakan akad berbeza? Itu mungkin bukan riba, tapi adakah ia dikira sebagai creating money out of thin air juga?”

Saya…risau nak jawab soalan ni, dan ambil masa lama fikir sambil berbual sorang-sorang untuk cari poin yang sesuai (orang rumah tanya ‘abang selalu fikir apa mulut terkumat-kamit?’ ‘Bukan baca jampi yang, tengah recap Sunnah, Mises dan Keynes’). Sebab utamanya kita bukanlah orang yang berkekompetenan dalam bidang syariah. Kedua, sebab saya rasa masalahnya lebih fundamental daripada akad dan cara kita bertransaksi.

Kita ulang suara: sebagai orang yang bekerja dalam bidang ekonomi saya tidak layak bercerita soal dalil dan hukum. Tapi apa yang boleh orang ekonomi lakukan ialah cerita tentang hakikat/nature sistem dan macamana sistem tu berfungsi. Bila bercerita bab akad ni saya selalu dengar orang kata ‘akad ni macam menyembelih ayam. Kalau tak sembelih (akad salah), ayam tu haram dimakan. Kalau sembelih baca bismilah (akad betul) ayam tu jadi halal’.

Fair enough. Jadi kita ceritakan hakikat dan mekanisme sistem tu, supaya ahli syarak boleh teliti semula dan putuskan sama ada yang disembelih memang ayam (halal), ikan bandaraya (makruh sebab ia makan benda kotor) atau sebenarnya khinzir (haram walaupun disembelih).

Ketiga-tiga soalan di bawah sekitar masalah monetari - apakah boleh wang itu wujud dengan terapung-apung, tanpa pancang, dan dicipta atas angin?

SOALAN 1: Bolehkah fiat dijadikan asas matawang?

Sejak zaman Rasulullah hingga kejatuhan Uthmaniyah, wang dalam kebanyakan masyarakat dan kerajaan Islam disandarkan kepada komoditi (barang berharga). Kebanyakan masa, komoditi ini ialah emas dan perak atas asbab kedua-duanya diinginkan oleh manusia, ada nilai dalaman, boleh dilebur dan dijadikan seragam, dan tidak mudah didapati.

Antara sumbangan pimpinan Islam yang unggul ialah memberikan standard tetap kepada matawang. Abdul Malik bin Marwan, contohnya, mengambil dinar Rom, menukarkan wajah dinar itu kepada bentuk Islami, dan menetapkan bahawa 1 dinar empayar Umayyah bersamaan 4.25 gram emas, tidak boleh diubah-ubah.

Kestabilan ini menghasilkan kemakmuran di seluruh empayar: pergilah ke mana-mana pun, dari Maghribi hingga ke India, jika peniaga melihat 1 dinar Abdul Malik maka dia tahu dinar itu baik dan bagus, boleh diterima ‘at face value’. Jika hari ini 1 dinar boleh membeli seekor kambing, jika pemerintah tidak bermain-main dengan matawang lagi 10 tahun 1 dinar itu juga boleh membeli seekor kambing, kerana standardnya tidak berubah.

Memang kita dengar bahawa duit kertas sudah lama wujud, sejak kerajaan China dahulukala. Tapi apa yang tidak diberitahu ialah duit kertas wujud sejajar dengan fasa kejatuhan: pada akhir kehidupan dinasti Yuan (abad ke-14), kerajaan mencetak kertas dengan begitu banyak untuk membayar belanja-belanja yang besar sehingga ia tidak ada nilai lagi dan menyusahkan orang ramai.

Dalam pemerintahan Islam, kerajaan Uthmaniyah yang berasaskan wang lira (emas) dan kurush (perak) mencetak wang kertas kaime pada tahun 1870-an untuk mendanai Perang Krimea, dan ini menyebabkan inflasi, memakan gaji para pegawai dan orang awam, dan menjadi salah satu faktor pemberontakan dan kekacauan dalaman.

Kita tidak perlu semak semula sejarah monetari abad ke-20: belanja besar dan riba’ meletupkan jumlah wang secara besar-besaran, sehingga tidak lagi mampu ditampung oleh emas yang sedia ada. Pengakhirannya, tali terakhir yang mengikat matawang dengan logam diputuskan oleh Presiden Richard Nixon pada tahun 1971 dengan mengumumkan bahawa US tidak akan menukarkan Dolar kepada emas yang ada dalam simpanannya.

Semenjak itu, dunia sudah 50 tahun berada dalam keadaan fiat sepenuhnya. Periode 50 tahun ini wajar dipanggil ‘The Greatest Monetary Experiment in the History of the World’, kerana tidak pernah ada dalam sejarah, satu dunia menggunapakai matawang yang hanya bersandarkan kertas dan air liur kerajaan.

Eksperimen ini datang dengan semua akibat yang pernah dilihat dalam eksperimen duit kertas: inflasi berpanjangan, kesusahan dan ketidaktenteraman awam, dan jurang kaya miskin bertambah, walaupun pada masa yang sama pertumbuhan ekonomi rancak.

Inflasi datang kerana bila tidak ada standard/pancang, matawang itu boleh dikembangkan sesuka hati dan perkara yang terlampau banyak ini nilainya akan jatuh. Jurang kaya miskin bertambah kerana orang kaya tidak mengharapkan gaji, ada aset benar, jadi tidak risau sangat tentang inflasi, manakala orang bawahan mengharapkan gaji yang sudahlah tidak seberapa, tak bertambah dari tahun ke tahun, dimakan pula oleh harga barang yang sentiasa naik.

Sebab itu ahli syara’ perlu memberikan pandangan tuntas:

Adakah fiat boleh dijadikan asas matawang?

Jika ya, kenapa walaupun ia tidak ada duluan dalam sejarah dan datang dengan mudarat yang nyata?

Jika tidak, adakah kewujudannya sekarang satu ‘necessary evil’ (kejahatan yang tidak dapat dielak) atau ‘temporary expedient’ (keadaan sementara)?

Jika ia keadaan sementara, apa langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengurangkan mudaratnya?

Perlukah kerajaan yang Islami berusaha mengambil semua langkah ke arah sistem monetari yang lebih waras?

[Bersambung]